Kenapa Takaful?

Tuesday, 6 December 2011

Golongan Muda Juga Berupaya Kena Serangan Jantung - Pakar


06 Disember, 2011 20:01 PM
Golongan Muda Juga Berupaya Kena Serangan Jantung - Pakar

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Golongan muda juga tidak terkecuali daripada menghidapi penyakit kardiovaskular atau serangan jantung ekoran gaya hidup yang tidak sihat, kata pakar jantung Dr Annuar Rapaee.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai pakar jantung lebih 10 tahun di Hospital Serdang, Selangor dan Pusat Perubatan Tropicana, Damansara berkata walaupun penyakit ini sering menyerang seseorang yang berumur lebih 40 tahun, tetapi golongan muda juga merupakan antara yang berisiko diserang penyakit senyap ini.

Darah tinggi dan diabetes merupakan antara penyumbang kepada serangan jantung selain merokok, katanya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Nangka (Sibu) ketika menyampaikan ceramah tentang penyakit tersebut di Wisma Bernama di sini Selasa.

Beliau menjelaskan dari pengalamannya, seorang pesakit berusia 26 tahun pernah dikenal pasti mengidap penyakit jantung yang agak kritikal kerana dipercayai menghisap rokok lebih daripada 20 batang sehari.

"Sebatang rokok mempunyai 4,000 bahan toksid yang bukan sahaja menjadi penyebab sakit jantung tetapi juga risiko penyakit kanser, yang perbuatan merokok bukan sahaja memberi kesan kepada perokok tersebut malah kepada orang di sekelilingnya," katanya.

Sehubungan itu Dr Annuar menasihati perokok supaya menghentikan tabiat tersebut kerana nikotin di dalam rokok boleh menyebabkan bekalan oksigen ke jantung berkurangan, tekanan dan kepekatan darah meningkat di samping merosakkan sel yang melindungi saluran darah.

Beliau berkata antara gejala serangan sakit jantung ialah pesakit mengalami sakit pada dada, sukar bernafas, kesakitan gigi dan sering merasa berdebar-debar.

"Ujian saringan sangat penting bagi mengenal pasti penyakit kardiovaskular kerana ia kadang kala tidak menunjukkan sebarang simptom atau gejala," katanya.

-- BERNAMA


Wednesday, 2 November 2011

Hiba dalam senyuman


Hiba dalam senyuman
Oleh Shahrul Nizam Mohamad
          
TEMERLOH: Sejak lebih setahun bergelar ibu tunggal, Asmayati Hamid, 46, dari Kampung Bangau Parit, di sini, seolah-olah hilang kemudi berikutan kematian suami, sekali gus menyebabkannya terpaksa bekerja keras bagi menyara enam anak yang membesar.

Setiap pagi, Asmayati ke kebun majikannya mengambil upah menoreh getah dan jika cuaca baik, dia mendapat RM400 sebulan untuk keperluan kehidupan seharian dan persekolahan anak.

Kedaifan keluarga Asmayati yang hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang itu mendapatkan perhatian Harian Metro (HM) yang tampil menghulurkan bantuan menerusi program tanggungjawab sosialnya, Titipan Kasih, bagi meringankan sedikit beban yang ditanggungnya.

Di sebalik senyuman ceria di wajah Asmayati sebaik menerima kunjungan rombongan warga kerja Harian Metro di rumahnya, Sabtu lalu, wanita tabah itu nyata tidak dapat menahan linangan air mata sebaik menyedari masih ada pihak yang prihatin dan sudi membantu keluarganya.

Biarpun sumbangan dihulurkan termasuk barang keperluan harian, tilam, bantal serta kelengkapan sekolah anak tidaklah seberapa nilainya, namun ia tetap melegakan ibu yang kini turut terpaksa menggalas tugas bapa.

“Saya sangat gembira dan terharu kerana dikunjungi tetamu daripada Harian Metro yang sudi menjejakkan kaki di rumah saya menghulurkan bantuan,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan disempurnakan Pengarang Kumpulan HM, Datuk Mustapa Omar.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Titipan Kasih HM, Othman Mamat; Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) HM, Ahmad Salim Bachok; Ketua Biro HM Pahang, Lokman Zainal Abidin dan Ketua Kampung Bangau Parit, Fadli Mat Nawawi.

Keperitan hidup Asmayati yang mempunyai tujuh anak mendapat perhatian selepas kisah mereka disiarkan akhbar nombor satu negara ini, Jumaat lalu.

Asmayati mengucapkan ribuan terima kasih kepada HM yang hadir ke rumahnya dan sudi meluangkan masa bersama keluarganya bagi menghulurkan sumbangan berkenaan.

“Saya meneruskan perjuangan hidup demi membesarkan anak biarpun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran serta dugaan demi memastikan anak menjadi orang berguna.

Sementara itu, Mustapa berkata, Asmayati boleh dianggap sebagai ibu mithali kerana walaupun bersendirian, beliau tetap tabah membesarkan anak.

“Saya harap sumbangan yang kami sampaikan ini dapat meringankan beban ditanggung Asmayati dan anaknya,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga itu boleh menghubungi Asmayati di talian 019-9961311 atau memasukkannya terus ke akaun Bank Simpanan Nasional 0640029000383635.


--

Thursday, 27 October 2011

Jangan biarkan keluarga anda hidup melarat...

 Jangan biarkan keluarga anda hidup melarat... bertindak segera...

RM400 suap 7 mulut
Oleh Lokman Zainal Abidin
lockman@nstp.com.my

TEMERLOH: Tidak banyak dapat dilakukan Asmayati Hamid yang berpendapatan bulanan kira-kira RM400 hasil upah menoreh getah untuk menyara enam anaknya yang semuanya masih bersekolah.

Kadang-kadang hati ibu tunggal berusia 46 tahun itu tersentuh dan ada masanya air matanya menitis apabila permintaan anak-anaknya tidak dapat dipenuhi lantaran duit gaji diterima perlu diuruskan dengan baik untuk keperluan lain yang lebih mendesak.

“Anak saya paling kecil berusia 11 tahun dan sebagai anak kecil, ada masanya dia mahu permainan atau makanan seperti ais krim. Hati ibu mana tidak sedih apabila permintaan sekecil itu pun tidak dapat ditunaikan. Duit yang ada perlu saya belanjakan untuk mereka yang masih bersekolah.

“Kalau cuaca baik dan tidak hujan, saya boleh mendapat upah sehingga RM400 tetapi kalau hujan, upah merosot teruk dan pernah satu ketika saya mendapat tidak sampai RM200. Bayangkan keadaan saya ketika itu, semuanya perlukan wang, tambahan pula anak-anak tinggal di asrama,” katanya yang sudah lebih setahun bergelar ibu tunggal.

Anak sulung Asmayati berusia 18 tahun kini belajar di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, manakala anak keduanya belajar di Politeknik Sultan Salahuddin di Shah Alam. Anak ketiga dan kelima Asmayati berusia 16 dan 13 tahun, belajar di Sekolah Agama Al-Wosto, Temerloh manakala anak perempuan tunggal dan juga anak keempatnya, belajar di Sekolah Agama Al-Ittifakiyah, Guai. Anak bongsunya berusia 11 tahun, belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Teluk Ira, Temerloh.

Kesempatan melihat sendiri rumah Asmayati hasil peninggalan suaminya di Kampung Bangau Parit, Temerloh, sudah cukup untuk menceritakan betapa sukarnya kehidupan ibu tunggal berkenaan.

Walaupun dibina dengan batu blok, dindingnya tidak dilepa dan kelengkapan rumahnya cukup sederhana, sekali gus menggambarkan Asmayati benar-benar memerlukan bantuan dan segala yang diceritakannya itu bukan direka untuk menagih simpati ramai.

“Memang saya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan dan amat berterima kasih dengan bantuan itu tetapi sekarang, semuanya memerlukan duit. Bukan mudah bagi saya membesarkan anak-anak sendirian kerana belanja diperlukan besar.

“Saya mengharapkan Tuhan memberikan kesihatan baik untuk memudahkan saya mencari rezeki. Selagi saya termampu saya akan mengerahkan tulang empat kerat ini mencari nafkah buat anak-anak,” katanya yang perlu mengharungi perjalanan sejauh kira-kira 10 kilometer setiap hari untuk ke kebun getah majikan.

Beberapa bulan lalu, Asmayati terbabit dengan kemalangan ketika menunggang motosikal ke kebun dan akibatnya, lutut kanannya membengkak hingga hampir dibedah.

Walaupun bengkak itu akhirnya pulih tetapi dia tidak dapat menoreh lebih seminggu sekali gus menyebabkan pendapatannya merosot.

“Saya menerima gaji seminggu sekali dan hanya akan dibayar jika datang menoreh. Kalau tidak, saya tidak dapat apa-apa,” katanya dengan nada sebak.
--NST 27/10/2011