Hiba dalam senyuman
Oleh Shahrul Nizam Mohamad
TEMERLOH: Sejak lebih setahun bergelar ibu
tunggal, Asmayati Hamid, 46, dari Kampung Bangau Parit, di sini,
seolah-olah hilang kemudi berikutan kematian suami, sekali gus
menyebabkannya terpaksa bekerja keras bagi menyara enam anak yang
membesar.
Setiap pagi, Asmayati ke kebun majikannya mengambil
upah menoreh getah dan jika cuaca baik, dia mendapat RM400 sebulan untuk
keperluan kehidupan seharian dan persekolahan anak.
Kedaifan keluarga Asmayati yang hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais
petang makan petang itu mendapatkan perhatian Harian Metro (HM) yang
tampil menghulurkan bantuan menerusi program tanggungjawab sosialnya,
Titipan Kasih, bagi meringankan sedikit beban yang ditanggungnya.
Di sebalik senyuman ceria di wajah Asmayati sebaik
menerima kunjungan rombongan warga kerja Harian Metro di rumahnya, Sabtu
lalu, wanita tabah itu nyata tidak dapat menahan linangan air mata
sebaik menyedari masih ada pihak yang prihatin dan sudi membantu
keluarganya.
Biarpun sumbangan dihulurkan termasuk barang
keperluan harian, tilam, bantal serta kelengkapan sekolah anak tidaklah
seberapa nilainya, namun ia tetap melegakan ibu yang kini turut terpaksa
menggalas tugas bapa.
“Saya sangat gembira dan terharu kerana dikunjungi
tetamu daripada Harian Metro yang sudi menjejakkan kaki di rumah saya
menghulurkan bantuan,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan
disempurnakan Pengarang Kumpulan HM, Datuk Mustapa Omar.
Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Titipan Kasih
HM, Othman Mamat; Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) HM, Ahmad Salim
Bachok; Ketua Biro HM Pahang, Lokman Zainal Abidin dan Ketua Kampung
Bangau Parit, Fadli Mat Nawawi.
Keperitan hidup Asmayati yang mempunyai tujuh anak
mendapat perhatian selepas kisah mereka disiarkan akhbar nombor satu
negara ini, Jumaat lalu.
Asmayati mengucapkan
ribuan terima kasih kepada HM yang hadir ke rumahnya dan sudi meluangkan
masa bersama keluarganya bagi menghulurkan sumbangan berkenaan.
“Saya meneruskan perjuangan hidup demi membesarkan
anak biarpun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran serta dugaan demi
memastikan anak menjadi orang berguna.
Sementara
itu, Mustapa berkata, Asmayati boleh dianggap sebagai ibu mithali
kerana walaupun bersendirian, beliau tetap tabah membesarkan anak.
“Saya harap sumbangan yang kami sampaikan ini dapat meringankan beban ditanggung Asmayati dan anaknya,” katanya.
Orang
ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga itu boleh
menghubungi Asmayati di talian 019-9961311 atau memasukkannya terus ke
akaun Bank Simpanan Nasional 0640029000383635.
No comments:
Post a Comment