Kenapa Takaful?

Wednesday, 2 November 2011

Hiba dalam senyuman


Hiba dalam senyuman
Oleh Shahrul Nizam Mohamad
          
TEMERLOH: Sejak lebih setahun bergelar ibu tunggal, Asmayati Hamid, 46, dari Kampung Bangau Parit, di sini, seolah-olah hilang kemudi berikutan kematian suami, sekali gus menyebabkannya terpaksa bekerja keras bagi menyara enam anak yang membesar.

Setiap pagi, Asmayati ke kebun majikannya mengambil upah menoreh getah dan jika cuaca baik, dia mendapat RM400 sebulan untuk keperluan kehidupan seharian dan persekolahan anak.

Kedaifan keluarga Asmayati yang hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang itu mendapatkan perhatian Harian Metro (HM) yang tampil menghulurkan bantuan menerusi program tanggungjawab sosialnya, Titipan Kasih, bagi meringankan sedikit beban yang ditanggungnya.

Di sebalik senyuman ceria di wajah Asmayati sebaik menerima kunjungan rombongan warga kerja Harian Metro di rumahnya, Sabtu lalu, wanita tabah itu nyata tidak dapat menahan linangan air mata sebaik menyedari masih ada pihak yang prihatin dan sudi membantu keluarganya.

Biarpun sumbangan dihulurkan termasuk barang keperluan harian, tilam, bantal serta kelengkapan sekolah anak tidaklah seberapa nilainya, namun ia tetap melegakan ibu yang kini turut terpaksa menggalas tugas bapa.

“Saya sangat gembira dan terharu kerana dikunjungi tetamu daripada Harian Metro yang sudi menjejakkan kaki di rumah saya menghulurkan bantuan,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan disempurnakan Pengarang Kumpulan HM, Datuk Mustapa Omar.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Titipan Kasih HM, Othman Mamat; Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) HM, Ahmad Salim Bachok; Ketua Biro HM Pahang, Lokman Zainal Abidin dan Ketua Kampung Bangau Parit, Fadli Mat Nawawi.

Keperitan hidup Asmayati yang mempunyai tujuh anak mendapat perhatian selepas kisah mereka disiarkan akhbar nombor satu negara ini, Jumaat lalu.

Asmayati mengucapkan ribuan terima kasih kepada HM yang hadir ke rumahnya dan sudi meluangkan masa bersama keluarganya bagi menghulurkan sumbangan berkenaan.

“Saya meneruskan perjuangan hidup demi membesarkan anak biarpun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran serta dugaan demi memastikan anak menjadi orang berguna.

Sementara itu, Mustapa berkata, Asmayati boleh dianggap sebagai ibu mithali kerana walaupun bersendirian, beliau tetap tabah membesarkan anak.

“Saya harap sumbangan yang kami sampaikan ini dapat meringankan beban ditanggung Asmayati dan anaknya,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga itu boleh menghubungi Asmayati di talian 019-9961311 atau memasukkannya terus ke akaun Bank Simpanan Nasional 0640029000383635.


--